Top 100 - Moto Terbaik Dari Japan
Bahagian
1 dari 10 siri – motosikal terbaik dari posisi 100 ke 91.
Motosikal Jepun kini sudah sebati
dengan kita semua sejak mula muncul pada tahun 50an. Walaupun ramai yang tidak yakin kepada motosikal-motosikal
dari Jepun terutamanya peminat moto Eropah dan mereka ini menganggap bahawa
serangan motosikal Jepun cuma sementara ia itu sama dengan pendudukan tentera
Jepun di Asia Tenggara. Sangkaan mereka meleset. Moto Jepun bukan sahaja
menawan Asia tetapi dunia. Memang produk awalan dari Jepun tidak memenuhi
citarasa peminat moto tetapi, tetapi Jepun bertindak cepat untuk memenuhi permintaan
dari peminat motosikal. Kini dunia motosikal akan sepi tanpa moto dari Jepun
malah dunia keretanpun sudah ditakluki. Sejak dari tahun 50an syarikat-syarikat
Jepun telah mengeluarkan banyak model-model motosikal, ada yang baik dan
bertaraf dunia dan ada yang tidak. Di sini kita ingin meninjau 100 motosikal
terbaik yang dikeluarkan dari Jepun. Kita nak melihat apakah moto-moto terbaik
sejak Sochiro Honda meletakan sebuah enjin dibelakang basikalnya. Senarai ini
adalah pilihan penulis dan anda mungkin tidak bersetuju dengan pilihannya. Tetapi
itulah hakikatnya senarai berasaskan pengalaman seseorang itu dan sudah tentu
pengalaman setiap orang berbeza. Anda
tentu pernah mendengar kata-kata ‘pemenang dikira di garisan akhir’ Tidak
guna jika sesuatu itu baik untuk seketika sahaja tetapi tidak lasak dan tiada
daya tahan lama. Itulah ciri-ciri moto yang disenaraikan. Moto-moto baru
seperti Hayabusa, R1, R6 , ZX10 dan GSXR memang baik tetapi tidak diambil kira
kerana moto-moto ini dikira belum sampai ke garisan akhir.
|
100. Kawasaki KE125

Apabila duduk
di atas pelana KE125 buat pertama kali, ia terasa kecil dan jika tidak tahu
kapasiti enjin KE ini mungkin ramai yang akan menjangka bahawa ia adalah moto
80cc. Mungkin juga kerana perasaan awal
ini, apabila membawa KE untuk diuji moto terasa lebih bertenaga dari sangkaan
saya. Sungguh meyakinkan sehingga saya membeli model ini selepas menguji
Kawasaki KE125. Saya memang hendak moto
di guna yang tidak begitu besar dan Kawasaki KE 125 memenuhi syarat-syarat
saya. Walaupun tiada ejen sah Kawasaki ketika itu saya membelinya juga kerana
tahu bahawa ada dua wakil yang boleh diharap iaitu Ah Kow Motor di Johor Bahru dan
Choong Motor in Petaling Jaya. Kedua-dua ejen ini ada hampir semua alat-alat
ganti apabila diperlukan. Saya sebelum ini telah membeli sebuah Z1 dari Choong
dan amat puas dengan layanan yang diberi.
Kawasaki KE
125 Enjin : 125 cc 1
selinder 2 lejang injap Rotary Kekotak
gear:6-kelajuan Berat:109.0 kg
|
99. Suzuki RV 125

Dikeluarkan dari 1972 – 1981 moto RV dari Suzuki ini amat comel dan
menarik perhatian setiap orang yang melihatnya. Seorang sahabat yang melihat
pemasangan unit pertama yang tiba di Malaysia menalipon saya dan memberitahu
bahawa moto tersebut adalah seperti Honda ‘monkey’
dan moto Rokon (moto pacuan dua roda). Tidak
boleh menyalahkan dia sebab ketika itu terminologi ‘moto dwi guna’ ataupun ‘all terrain vehicle’ belum diguna
pakai. Moto dari Suzuki ini dilengkapi
dengan tayar yang paling lebar untuk sebuah moto ketika itu dan transmisi pula
adalah 2 x 4 iaitu boleh pilih untuk biasa atau kegunaan ‘off-road’. Moto RV ini berat jika dibanding dengan 125cc yang lain
(231 paun) tetapi tidak terasa apabila memandunya, mungkin kerana moto ini
rendah dan geometri pula berpadanan. Kapasiti enjin adalah 123 cc dan ianya
jenis 2 lejang dan penyejuk angin yang menjana 10 kuasa kuda pada 6000 rpm.
Suzuki RV membuka
banyak kawasan yang dahulunya tidak dapat diterokai, dan ia sekali gus menggalakan
aktiviti baru (memancing) di kawasan yang jarang dilawati orang ramai.
Yang tidak baiknya adalah selepas RV dihentikan pengeluaran, tayar
gentian agak susah diperolehi. Untuk mereka yang berminat Suzuki kini telah
mengeluarkan kembali model ini tetapi dengan enjin 4 lejang. Malangnya ia tidak
dipasarkan di Malaysia
|
98. Suzuki GT550

Suzuki GT
550 diperkenalkan pada tahun 1972 bersama dengan siri GT yang lain iaitu GT380 dan
GT750. Walaupun ia cuma berselinder 3, dari segi rupa dan prestasi tidak ada cacat
celanya. Ia dilengkapi dengan 4 ekzos iaitu ekzos selinder tengah bercabang
dua, iaitu ke kiri dan kanan. Kelicinan perjalanan enjin 2 lejang 3 selinder
dikatakan sama dengan 4 lejang 6 selinder. Sangkaan awal bahawa selinder tengah
akan memanas berlebihan adalah meleset. Kapasiti enjin 543cc agak ganjil kerana
tidak dalam lingkungan kategori yang diterima ramai. Kerana berlebihan 43cc ia
dimasukan dalam kelas lebih 500cc yang biasanya di penuhi dengan moto 750cc.
Kegunaan minyak agak tinggi tetapi lebih baik dari Kawasaki 500 yang juga
berselinder 3. Brek pada model pertama
adalah jenis gegendang tetapi ditukar ke jenis cakera pada tahun berikutnya.
|
97. Suzuki GS 550 1977 Dikeluarkan antara 1977 dan 1985 model ini merupakan
satu lagi berkapasiti ganjil. Terlebih sedikit untuk kelas 500cc tetapi terlalu
kecil untuk kelas 500cc ke atas. Bagi kebanyakan Negara ini bermakna kena
mempunyai lessen khas untuk menunggang moto ini kerana melebihi had 500cc.
Tetapi ia sangat popular dengan pihak berkuasa dibanyak Negara termasuklah
Malaysia. Di Negara ini bukan sahaja pihak Polis yang menggunakan GS550 tetapi
juga pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan beberapa ajensi lain. Brek cakera
diguna di hadapan tetapi di belakang dilengkapi dengan brek gegendang. Enjin
adalah biasa dengan dua injap untuk setiap selinder dan dwi aci sesondol atas.Berat: 200 kg (440 paun)
Jenis
Enjin: Sejuk angin 549 cc 4 sebaris ,
DOHC, 8 injap. 49 kk (35,8 kW) / 9.000 rpm, 42 Nm / 7.500 rpm. Satu brek cakera
di depan.
|
96. Bridgestone 90
Motosikal Bridgestone 90 tiba di negara kita dalam
tahun 1964 melalui ejen sah syarikat Borneo Company. Moto ini menjadi kegilaan
ramai sebab prestasi enjin yang lebih dari yang lain. Tangki moto ini disalut
dengan krom dan ini membuat logo BS pada tangki nampak lebih gah. Bukan sahaja
tangki disalut krom tetapi di dalam enjin kebuk selinder juga disalut krom.
Minyak 2T di campur secara otomatik melalui pam 2T. Enjin adalah 2 lejang dan
dilengkapi dengan injap cakera rotary. Jenama Bridgestone termasuk model 90cc
telah memenangi banyak kejuaraan di Jepun
| |
95. Marusho Lilac 300
|
|

Motosikal 300cc Marusho-Lilac adalah pilihan
untuk mereka yang memerlukan lebih kuasa kuda dari versi 250. Reka bentuk
tangki juga lebih ‘sport’ dan enjin seperti 250cc adalah enjin kembar bentuk V
dengan injap atas dan penghidup elektrik. Sebagaimana semua Lilac, moto ini juga dipancu dengan ‘shaft’. Susunan
gear dalam kotak gear juga agak pelik pada mereka yang tidak biasa kerana
susunan adalah ‘free-1-2-3-4-free’. Cuma sebiji lampu oren bernyala adalah
amaran kepada penunggang apabila berada di posisi gear 4.
Marusho amat
bangga dengan kejuruteraan enjin mereka sehingga lampu belakang direka
berbentuk V kerana semua motosikal Marusho mempunyai susunan V. (kecuali 500cc
yang berbentuk ‘flat twin’) .
Marusho-Lilac
agak jarang kelihatan ketika itu kerana pengeluaran terhad dan kini ia menjadi
antara yang di buru oleh peminat-peminat moto lama. Pada tahun 80an ketika
bertugas di Butterworth saya kerap kali melihat moto ini ditunggang oleh
seorang keturunan India tetapi tidak berjaya untuk bertemu dengannya kerana ada
sahaja rintangan. Di manakah agaknya moto tersebut. | |
94. Tohatsu

Seperti mana juga remaja yang suka cabaran, jenama ‘underdog’ ataupun yang bukan ‘top’
digemari dan di sanjungi. Begitu juga dengan jenama Tohatsu walaupun tidak
memperolehi jualan yang tinggi, ramai remaja memberi sepenuh tumpuan ke atas
moto ini. Di perlumbaan ia menerima lebih sorakan dari jenama lain. Tetapi ini
bukan bermakna Tohatsu tidak baik malah ia telah memenangi beberapa kejuaraan
termasuk di peringkat dunia.
Pada tahun 1962, moto 125 Tohatsu memenangi dua kejuaraan iaitu AMA dan juga Sportsman 125, manakala di Malaysia
ia mencipta nama dengan memenangi kejuaraan di litar rumput Kuala Kangsar. Selepas itu barulah jualan Tohatsu mula naik
dan apabila baru sahaja naik jualan Tohatsu hilang dari bilik-bilik pameran.
Ini kerana lembaga pengarah Tohatsu telah membuat keputusan untuk menarik diri
dari industri motosikal dan menumpu kepada dunia enjin ‘outboard’ ataupun enjin sangkut untuk bot. Hari ini jenama Tohatsu antara yang terhebat
di dunia marin. Siapa tahu apa pencapaian Tohatsu di dunia motosikal jika mereka
tidak menarik diri? Ya siapa tahu. Kehilangan dunia motosikal merupakan suatu
kegemilangan dunia marin. Kini Tohatsu bukan sahaja mengeluarkan enjin marin
dengan jenama mereka tetapi juga membuat enjin untuk beberapa nama kuat yang
lain. |
93. Suzuki Wolf T90

Motosikal
Suzuki Wolf T90 dan Stinger T125 dilancar pada tahun 1969. Wolf merupakan
motosikal dua selinder paling kecil dari mana-mana pengeluar Jepun. Tetapi sesetengah Negara tidak memasarkan
model Wolf, Cuma Stinger, tetapi pengedar di Negara kita iaitu Guan Hoe telah
membawa kedua-dua model. Guan Hoe juga lengkap dengan servis sokongan selepas
jualan. Kalau nak dikira, Guan Hoe ketika itu membawa masuk hampir kesemua
model-model keluaran Suzuki dari siri GS, GT, RM, GP dan banyak lagi. Kini agak
sedih kerana model Suzuki yang ada di pasaran terhad. Dalam kempen media mereka
Suzuki melaungkan bahawa T.90 ringan, lincah dan menarik. Peminat yang sudah
lama menantikan model 90 dan 125 selepas kemenangan Suzuki dikejuaraan dunia di
Eropah, menyambut Wolf dengan membeli habis stok pertama yang tiba. Pembeli
diberi jeket percuma sebagai penghargaan. Wolf sangat inovatif untuk masanya.
Dengan ekzos yang naik tinggi dan tangki minyak yang panjang ia memberi
kepuasan baru kepada peminat di Malaysia. Untuk menekankan bahawa Wolf adalah
motosikal sebenarnya Suzuki menyatakan bahawa Wolf bukan alat mainan seperti
moto kecil yang lain. Kekotak gear 5 kelajuan adalah yang paling licin ketika
itu |
92. Yamaha SR 500
Kepada ramai peminat moto, Yamaha
SR500 merupakan satu cubaan untuk memenangi hati peminat motosikal buatan
British, terutamanya peminat moto 1 selinder. Sebagai seorang yang telah begitu
lama menunggang moto British, baik yang
satu dua atau 3 selinder, Yamaha SR500 tidak mana sedekat moto-moto British.
Walaupun rentak dan bunyi thum thum
ada, ia tidak sebagaimana bunyi thum
dari moto British. Perbezaan ini dari
bezanya saiz omboh berbanding lejang. Moto British biasanya sukatan lejang
lebih dari sukatan omboh dan ini biasa disebut sebagai ‘longstroke’ atau lejang panjang manakala moto SR500 pula adalah oversquare, iaitu sukatan omboh lebih
dari lejang. Tidak sama bukan bermakna tidak baik, hanya berbeza. Moto pertama keluar dalam tahun 1978 dan
mendapat sambutan hangat di beberapa Negara. Di Jepun misalnya, moto SR melahirkan industri ‘kustom’ atau ubah suai. Berbagai alat
ganti seperti ekzos dan tangki yang menyerupai tangki dan ekzos BSA Goldstar
dijual.
Apa yang pasti, SR500 boleh diharap
dan tidak melimpah minyak hitam ke lantai apabila dipakir dan juga lebih senang
dihidupkan dan anda boleh menyiram moto SR tanpa risau ia tidak boleh
dihidupkan kemudian. |
91. Suzuki GS 750 1976

Suzuki GS 750 mula muncul di bilik pameran pada lewat tahun 1976. Ia moto
yang baik dan juga kelihatan gagah tetapi tidak ada apa yang baru yang terdapat
pada moto ini. Dari segi inovasi ia berkurangan kerana apa sahaja yang terdapat
pada GS telah pun digunapakai oleh jenama-jenama lain. Empat selinder, DOHC dan lain-lain telah
diguna misalnya Kawasaki pada moto Z1.
Walaupun Suzuki agak lewat memperkenalkan siri 4 lejang termasuk GS750 ia
bukan moto 4 lejang pertama dari Suzuki. Moto 4 lejang pertama dikeluarkan
dalam tahun 1954. Kelewatan Suzuki untuk kembali mengeluarkan moto 4 lejang
adalah kerana mereka sibuk untuk mempertingkatkan prestasi 2 lejang dan juga
enjin Wenkel atau rotary.
Untuk posisi dari 90 – 81 singgah-singgahlah selalu di
laman ini untuk perkembangan. |
|
|